Saturday, April 05, 2008

Bergenang air mataku...



GEMAS: Kedaifan hidup menyebabkan sepasang suami isteri menjadikan sebuah tandas lama yang hampir roboh di Stesen Kereta Api Gemas, di sini, sebagai tempat tinggal kerana tidak mampu menyewa rumah.

Ismail Mat, 70; dan isterinya, Rahimah Jolan, 68, mendiami tandas berkenaan sejak 27 Mac lalu selepas diberi peluang bekerja sebagai penjaga dan pencuci tandas baru yang bersebelahan ‘rumah’ mereka itu.

"Kami suami isteri hanya berpendapatan kira-kira RM10 sehari hasil kutipan bayaran masuk 20 sen daripada orang ramai yang menggunakan tandas serta hasil jualan tisu," katanya ketika ditemui selepas lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Zainab Nasir dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Mizan Maulud, semalam.

Ismail yang berasal Jelebu berkata, beliau mempunyai dua anak dan sebelas cucu hasil perkahwinan dengan isteri pertamanya, Habsah Isa tetapi mendakwa mereka tidak mempedulikannya.

"Sebelum bekerja di stesen ini, saya menjaga dan membersihkan tandas di Gerai Makan Majlis Daerah Tampin (MDT) dan tinggal di bawah tangga bangunan berkenaan lebih tiga tahun. Disebabkan tandas berkenaan rosak dan terpaksa ditutup, saya terpaksa diberhentikan.

“Namun, saya bersyukur kerana ada pegawai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menawarkan pekerjaan menjaga tandas di stesen ini, membenarkan saya tinggal di tandas lama yang hampir roboh," katanya.
Ismail berkata, beliau dan isteri terpaksa mencari papan untuk menutup lubang tandas serta plastik untuk dijadikan atap bagi berlindung daripada hujan dan panas.

"Disebabkan bilik tandas itu kecil berukuran 0.5 meter lebar dan dua meter panjang, saya dan isteri terpaksa tidur bergilir," katanya.

Sementara itu, Zainab yang menerima maklumat mengenai pasangan itu ketika majlis penyampaian bantuan kepada 38 mangsa banjir di Dewan Majlis Daerah Kecil Gemas bergegas ke lokasi berkenaan bagi meninjau pasangan suami isteri itu.

Beliau berjanji membantu mereka mendapatkan sebuah rumah Program Kesejahteraan Rakyat (PKR) atau Skim Bantuan Miskin Bandar bagi bantuan sara hidup.

"Saya berjaya memujuk mereka untuk ditempatkan sementara di Rumah Kebajikan di Seremban sehingga rumah berkenaan diperoleh. Saya berjanji kebajikan pasangan suami isteri ini dibela," kata Zainab.